MOHD Salim bersama pekebun kecil yang menghantar getah sekerap ke depo di Kampung Lonek. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
MOHD Salim bersama pekebun kecil yang menghantar getah sekerap ke depo di Kampung Lonek. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Nasib pekebun kecil getah diberi perhatian apabila Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) giat membina 60 depo sekerap dan susu getah ( lateks) di seluruh negara.

Pengerusi RISDA Datuk Mohd Salim Sharif berkata, RISDA memperuntukkan RM2.54 juta bagi membina depo berkenaan untuk kegunaan seramai 11,446 pekebun kecil.

Katanya, sebanyak 33 depo sekerap dan 27 depo susu getah dijangka bakal disiapkan menjelang akhir tahun ini

"Tahun lalu RISDA membelanjakan sebanyak RM1.39 juta bagi membina 49 depo membabitkan 14 sekerap dan 35 susu getah termasuk menambah baik depo sedia ada.

"RISDA berharap kemudahan infrastruktur itu membolehkan pekebun kecil meningkatkan hasil pengeluaran sekerap dan lateks," katanya selepas merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur dan Pelancaran Gerakan Rawatan Penyakit Pestalotiopsis Peringkat Negeri Sembilan di Ladang Tanaman Semula Berkelompok ( TBS ) Kampung Lonek di sini, tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Serting Datuk Shamshulkahar Mohd Deli dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan RISDA, Ali Sabuddin Bin Abd Samad.

Mohd Salim berkata setiap depo dibina berdasarkan permintaan pekebun kecil dan mengambil kira pelbagai faktor seperti akses pengangkutan dan lokasi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata RISDA sudah memulakan semburan bagi mengatasi penyakit luruhan daun atau Pestalotiopsis di seluruh negara.

Katanya penyakit berkenaan memberi kesan kepada 15,282 hektar kebun getah membabitkan 8,043 pekebun kecil.

"RISDA menyalurkan peruntukan berjumlah RM15. 74 juta bagi mengatasi penyakit berkenaan dalam bentuk semburan racun kulat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 4:30 PM