BAGASI berisi RM500,000 yang dijumpai di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah. FOTO arkib NSTP
BAGASI berisi RM500,000 yang dijumpai di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Shah Alam: Pengarah syarikat yang mendakwa pemilik bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 yang ditemukan di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara baru-baru ini, dijangka hadir memberikan keterangan esok.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya amat berharap individu itu dapat menunaikan janji hadir memberi keterangan selepas gagal berbuat demikian sebelum ini atas pelbagai alasan.

"Sebagaimana yang saya maklum sebelum ini, kita ada terima aduan daripada individu itu pada 21 Mac lepas yang berjanji untuk hadir ke balai bagi memberi keterangan selepas mengaku bagasi berkenaan milik syarikatnya.

"Kita baru mendapat makluman yang beliau akan datang untuk dirakam keterangan esok, 30 Mac bersama bukti yang menunjukkan bagasi itu milik mereka," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata, polis perlu merakam keterangan individu itu dan berpuas hati dengan bukti-bukti dikemukakan sebelum memutuskan pihak yang berhak ke atas bagasi berkenaan.

Beliau berkata, jika sebaliknya, polis perlu mengikut prosedur ditetapkan seperti menyiarkan notis di bawah perkara siasatan harta tidak dituntut di akhbar untuk mengesan pemilik sebenar.

Oleh itu, kata beliau individu berkenaan perlu hadir bagi dirakam percakapan bersama bukti kukuh, jika tidak polis akan mengikut prosedur sedia ada termasuk merujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk mengembalikan wang berkenaan kepada kerajaan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pengawal keselamatan berusia 30-an menemukan sebuah bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana berisi wang kertas RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000 pada 8 pagi Rabu lepas.

Pada hari yang sama, pengarah sebuah syarikat teknologi maklumat membuat aduan di Balai Polis Damansara mendakwa bagasi itu milik syarikatnya, namun sehingga kini individu berkenaan gagal hadir memberi keterangan di mana-mana balai polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 4:31 PM