BEG berisi RM500,000 yang ditemukan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah (gambar fail). FOTO Hazreen Mohamad
BEG berisi RM500,000 yang ditemukan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah (gambar fail). FOTO Hazreen Mohamad
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis meminta syarikat mendakwa bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 ditemukan tempat letak kenderaan sebuah pusat beli belah di Damansara, Petaling Jaya, milik mereka segera tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sehingga hari ini selepas mereka membuat laporan polis masih gagal hadir untuk memberi keterangan.

"Sehubungan itu, kita minta pihak syarikat dapat tampil segera bagi membantu siasatan," katanya kepada Harian Metro malam ini.

Terdahulu Ketua Balai Polis Damansara sudah memanggil pengarah syarikat berusia 40-an namun memberi pelbagai alasan seperti menghadiri mesyuarat dan sakit.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah di Damansara menemui bagasi berisi wang tunai di tempat letak kenderaan.

Hussein dilaporkan berkata, siasatan mendapati beg itu berisi wang kertas not RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.

Beliau berkata, polis meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) namun tidak memfokus kepada lokasi bagasi ditemukan dan meminta pemilik bagasi tampil berserta bukti jika ingin menuntut wang berkenaan.

Susulan itu, polis menerima laporan daripada sebuah syarikat yang mendakwa bagasi berkenaan milik mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 9:50 PM