GAMBAR fail bagasi berisi RM500,000 yang ditemukan di letak kereta pusat beli-belah. FOTO Hazreen Mohamad
GAMBAR fail bagasi berisi RM500,000 yang ditemukan di letak kereta pusat beli-belah. FOTO Hazreen Mohamad
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tiga saksi yang sepatutnya dirakam keterangan berkaitan pemilikan bagasi berisi wang tunai kira-kira RM500,000 masih belum tampil bagi membantu polis menjalankan siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga individu terbabit adalah rakan kepada pengarah syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan kayu balak.

"Kita masih menunggu mereka tampil untuk dirakam percakapan namun mereka memberikan alasan berada di luar negara.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber wang terbabit yang didakwa untuk digunakan bagi perniagaannya," katanya ketika di temui di Masjid Negara di sini hari ini.

Terdahulu, Hussein hadir bagi memberi penghormatan kepada bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar yang meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang pada 2.15 pagi tadi.

Sebelum ini, Hussein mengesahkan seorang pengarah syarikat kayu balak sudah tampil memberi keterangan kepada polis pada 30 Mac selepas mendakwa bagasi terbabit adalah miliknya.

Pengarah syarikat itu mendakwa bagasi mengandungi wang itu diambil dari rumah rakannya yang ingin memulangkan wang dipinjamkan tahun lalu untuk tujuan pelaburan.

Bagaimanapun, individu terbabit tidak membawa sebarang rekod dan bukti yang mengatakan wang terbabit adalah milik syarikatnya semasa keterangannya direkodkan.

Pada 21 Mac lalu, media melaporkan satu bagasi berisi wang lebih RM500,000 di tempat meletak kenderaan di sebuah pusat beli-belah oleh pihak pengawal keselamatan pusat beli-belah terbabit.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 2:26 PM