GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Padah mencuri barangan pasar raya, dua wanita masing-masing dipenjara sehari dan didenda RM300 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.

Majistret Khairunisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Noor Affirah Musol dan Nur Aliffah Insyiraah Mohamad Zikri, masing-masing berusia 23 tahun, yang mengaku bersalah mencuri sarung kaki, tudung dan kasut sekolah, pemotong pita perekat, produk pelega kesakitan dan pewangi badan berjumlah RM128.99 di sebuah pasar raya di Ayer Keroh pada 6 Mac lalu, kira-kira jam 1.15 tengah hari.

Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, masing-masing berasal dari Tuaran, Sabah dan Kuching, Sarawak itu dipenjara tambahan tiga hari jika gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, mereka mengambil beberapa barang dan memasukkan ke dalam beg plastik sebelum pergi ke kaunter bayaran.

Bagaimanapun mereka ditahan oleh pengawal keselamatan selepas memeriksa resit pembelian dan mendapati terdapat barangan milik pasar raya yang tidak dibayar.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Isshar memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh yang ketika kejadian berkerja dengan pasar raya berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 3:38 PM