Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang peniaga nasi lemak didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan menerima harta curi berupa pelbagai barangan milik pasar raya dan kedai pada 2021.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Darmafikri Abu Adam selepas tertuduh, Wan Azrul Affendy Yunos, 48, mengaku bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan pilihan serta menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Darmafikri turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pilihan, Wan Azrul Affendy didapati dengan niat curang menerima harta curi keseluruhan berjumlah RM8,000 kepunyaan kedai Watson Taman Paya Rumput Utama, Pasaraya Econsave Lebuh Ayer Keroh, Pasaraya 99 Speedmart Batu Berendam dan Pasaraya Econsavce Sungai Udang.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di No S1 118, Jalan Ayer Molek Perdana 5, Taman Ayer Molek Perdana pada 29 Julai 2021, jam 1.20 tengah hari.

Dia dituduh mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin menjalankan pendakwaan manakala tertuduh diwakili Peguam Lailawati Husain.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditangkap di sebuah chalet di Pengkalan Balak, hasil siasatan polis berhubung kecurian di beberapa pasar raya.

Pelbagai jenis barangan termasuk mentega kacang, pencuci muka, ubat gigi, pelekat gigi palsu, pewangi badan, minyak wangi, coklat dan minyak rambut bernilai keseluruhan RM8,000 turut dirampas daripada tertuduh.

Hasil siasatan, tertuduh mengaku membeli semua barangan curi itu daripada dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia sebelum menjualnya secara dalam talian.

Terdahulu, Lailawati memohon tertuduh yang juga bapa kepada dua anak dikenakan denda minimum kerana sudah insaf selama direman 11 hari ketika siasatan kes itu bermula 25 Julai 2021 selain itu kesalahan pertamanya.

Aliff Asraf bagaimanapun berhujah supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat untuk tidak mengulangi kesalahan sama.

"Berdasarkan fakta kes dan eksibit diakui tertuduh jelas menunjukkan dia menerima dan membeli barangan curi daripada dua individu dan menyimpannya di rumah sewa.

"Tertuduh juga menjual barang curi itu secara dalam talian di Shopee dan secara curang mengaut keuntungan untuk dirinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 5:35 PM