GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Omar Ahmad


Johor Bahru: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengesan 34 peniaga tiada suntikan tifoid menerusi pemeriksaan berterusan yang dijalankan di sepanjang Ramadan ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noor Azam Osman berkata, 31 kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 20(1) (II), Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan MBJB 2010 dengan jumlah kompaun keseluruhan bernilai RM 7,750.

"Sebanyak 56 lokasi bazar diluluskan tahun ini dan MBJB melaksanakan pemantauan bagi memastikan penganjur dan peniaga bazar mematuhi syarat dan peraturan.

"Peniaga mesti memastikan pekerja pengendali makanan mendapatkan suntikan tifoid yang juga syarat utama dalam perniagaan asas makanan.

"Kegagalan mendapat suntikan boleh menyebabkan risiko penularan penyakit demam kepialu, yang boleh tersebar melalui makanan yang tercemar dengan bakteria selain mengurangkan risiko

penyakit keracunan makanan," katanya ketika mesyuarat penuh MBJB di Menara MBJB di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Noor Azam memaklumkan pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap penetapan harga jualan makanan dan minuman di bazar Ramadan, khususnya bazar yang dianjurkan pihak swasta.

"Ini bukan bidang kuasa kita untuk ambil tindakan, sebaliknya kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), mereka yang boleh berbuat demikian," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 2:58 PM