Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Kesihatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengeluarkan sebanyak 56 kompaun berjumlah RM14,000 terhadap peniaga bazar Ramadan di kawasan pentadbirannya atas kesalahan tidak mempamerkan buku suntikan tifoid ketika pemeriksaan dijalankan.

Datuk Bandar MBJB, Datuk Amran A Rahman berkata, tindakan itu diambil mengikut Undang-Undang Kecil 20 (1) (ii) dan Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan MBJB 2010.

Katanya, pemeriksaan jabatan berkenaan juga mendapati masih terdapat kesalahan berulang dilakukan peniaga.

“Terdapat segelintir peniaga yang tidak mengambil suntikan tifoid seperti ditetapkan dalam peraturan.

“Hasil pemeriksaan mendapati hanya pemilik lesen perniagaan atau penjaja yang mengambil suntikan tifoid tetapi pekerja gerai tidak mengambil suntikan terbabit,” katanya berucap pada Majlis Mesyuarat Penuh MBJB di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, tindakan segelintir peniaga yang culas atau sengaja tidak mahu mengambil suntikan tifoid terutama pekerja atau pembantu mereka atas alasan tambahan kos dan sebagainya.

“Suntikan ini amat penting bagi mengelakkan kejadian wabak keracunan makanan,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan juga mendapati ada peniaga dan pembantunya tidak menjaga kekemasan imej dengan memakai topi dan apron seperti diuar-uarkan.

“Terdapat juga segelintir peniaga yang masih menggunakan bahan polistrin sebagai pembungkus makanan.

“Peniaga memberi alasan tidak maklum mengenai larangan penggunaan polisterin serta tidak jelas berkenaan larangan penggunaannya yang dikuatkuasakan, selain banyak dijual di kedai pemborong,” katanya.

Sementara itu katanya, sejumlah 2,720 petak atau lot Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di 48 lokasi di sekitar Johor Bahru.

“Daripada jumlah ini, 115 petak adalah bazar Aidilfitri sahaja, 594 petak bazar juadah berbuka puasa dan bazar Aidilfitri, manakala selebihnya petak bazar juadah berbuka puasa saja.

“Sepanjang tempoh Ramadan ini, Jabatan Kesihatan MBJB membuat pemeriksaan kebersihan terhadap 20 bazar membabitkan 1,373 peniaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 2:54 PM