Fasha Sandha ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pembukaan Alfaro x Fasha Sandha di Pusat Komersial Seksyen 7.  FOTO GENES GULITAH
Fasha Sandha ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pembukaan Alfaro x Fasha Sandha di Pusat Komersial Seksyen 7. FOTO GENES GULITAH
Ramlah Zainal

 

Shah Alam: Pelakon Fasha Sandha tidak mahu menyatakan pendiriannya sama ada dia menyokong atau sebaliknya mengenai tindakan orang ramai termasuk selebriti memboikot produk atau jenama didakwa menyalurkan dana kepada Israel.

Menurut Fasha atau nama sebenar, Nur Fasha Sandha Hassan, 39, dia sukar untuk memberi komen isu boikot terbabit kerana bimbang berlaku salah faham dan dirinya pula akan disalahkan.

"Semua orang ada pandangan masing-masing mengenai isu boikot jenama berkaitan Israel ini.

"Secara jujurnya, saya berasa bimbang akan beri komen yang salah dan akhirnya saya yang kena balik. Saya juga tidak boleh cakap boikot atau tidak kerana banyak hati yang perlu dijaga.

"Saya perlu jaga hati pihak yang diboikot dan orang yang boikot juga. Saya tidak berada di pihak sebelah mana kerana mahu menjaga hati semua orang," katanya ketika ditemui Harian Metro di majlis pembukaan cawangan ketiga Alfaro Mall di Seksyen 7, di sini, petang tadi.

Mengulas isu boikot lagi, kata Fasha, dia juga memikirkan kesan boikot kepada pekerja yang bekerja dengan jenama atau produk terbabit.

"Saya tidak arif soal agama tetapi terfikir, mereka yang bekerja dengan jenama yang diboikot itu juga perlu bekerja dan ada keluarga yang perlu ditanggung.

"Kecuali pihak majikan terbabit menyediakan mereka peluang pekerjaan yang lain. Kita harus ingat tidak semudah itu untuk mencari kerja lain dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu bagus sekarang,"katanya.

Sementara itu, ditanya isu Palestin lagi, kata Fasha, dia juga mengelak dari berkongsi mengenai video yang memaparkan kekejaman rejim zionis kepada kanak-kanak di Gaza di akaun media sosialnya.

"Kita boleh kongsi kesedihan yang kita rasa bila melihat situasi di Palestin tetapi tidak perlu berlebihan.

"Contohnya, bila tengok video tangan kanak-kanak Palestin yang putus boleh ganggu mood saya untuk keluar bekerja.

"Saya memang mengelak dari tengok atau kongsi video yang paparkan kekejaman seperti itu kerana saya ada anak-anak yang masih kecil," katanya.

Pada masa sama, kata Fasha, tidak salah untuk kita sama-sama bersedih dan membantu rakyat Palestin  tetapi tidak perlu berlebihan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 9:19 PM