ABDUL Halim Ramli (kanan) menunjukkan antara rokok yang dirampas ketika sidang media di Sektor Penguatkuasaan Kastam Bagan Jermal di sini. FOTO Danial Saad
ABDUL Halim Ramli (kanan) menunjukkan antara rokok yang dirampas ketika sidang media di Sektor Penguatkuasaan Kastam Bagan Jermal di sini. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Mengikrar dagangan sebagai karpet pada dokumen pengisytiharan, sebaliknya ia adalah modus operandi digunakan sindiket penyeludupan rokok bagi mengelak aktiviti mereka dihidu.

Bagaimanapun, kegiatan licik mereka gagal apabila dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang dalam dua serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor pada 5 dan 7 Mei lalu.

Pengarah Kastam negeri Abdul Halim Ramli berkata, pihaknya merampas sejumlah 9.65 juta batang rokok dengan dianggarkan bernilai RM772,000 membabitkan cukai berjumlah lebih RM6.31 juta dalam dua serbuan itu.

Katanya, anggotanya menahan sebuah lori kontena di Jalan Teluk Gong, Pelabuhan Klang untuk pemeriksaan pada 8.30 malam 5 Mei lalu.

"Hasil pemeriksaan menemui sejumlah 495 mastercase rokok putih disyaki tidak berkastam bersamaan 4.95 juta batang rokok dengan nilai dianggarkan RM396,000 dan cukai berjumlah hampir RM3.2 juta.

"Siasatan awal mendapati kontena itu dikendalikan sebuah syarikat perkapalan dan syarikat penghantaran beroperasi di Pelabuhan Klang. Melalui dokumen yang diperoleh, dagangan ini juga disyaki berasal dari negara di Asia Timur," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya kemudian memeriksa sebuah kontena lain dan menemui sejumlah 470 mastercase rokok putih disyaki tidak berkastam bersamaan 4.7 juta batang rokok membabitkan nilai anggaran RM376,000 dan cukai berjumlah hampir RM3.12 juta.

"Keseluruhannya, kita merampas sejumlah 9.65 juta batang rokok dengan nilai anggaran RM772,000 membabitkan cukai berjumlah lebih RM6.31 juta dalam dua pemeriksaan itu.

"Kita turut menahan empat individu terdiri pemandu lori, pengurus operasi syarikat penghantaran, pengimport dan ejen penghantaran berusia 30-an untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak menolak kemungkinan kedua-dua kontena yang ditahan membabitkan sindiket sama berdasarkan modus operandi yang digunakan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 4:39 PM