LOKE bersama ahli keluarga mangsa menampal keratan sebagai  tanda memperingati tragedi pada Majlis 10 tahun Memperingati MH370.
LOKE bersama ahli keluarga mangsa menampal keratan sebagai tanda memperingati tragedi pada Majlis 10 tahun Memperingati MH370.
Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Subang Jaya: Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyifatkan kehilangan pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 2014 menjadi misteri terbesar dalam sejarah industri penerbangan dunia.

Bercakap semasa Majlis 10 tahun Memperingati MH370, di sini, baru-baru ini, Loke berkata, misteri itu perlu diselesaikan dan pihaknya berharap pencariannya akan menjadi positif.

"Kami tak nak setiap tahun waris mangsa memperingati ulang tahunnya dengan banyak persoalan di minda dan tidak ada penutup kepada tragedi ini.

"Oleh itu, sebagai kerajaan, kami akan melakukan segala yang mampu untuk menyelesaikan misteri ini selama-lamanya. Kami berharap anda (waris mangsa) akan terus kuat dan tabah," katanya.

Loke berkata, Malaysia sedia mempertimbangkan untuk melakukan operasi pencarian semula MH370 dan menjemput firma penerokaan dasar laut Ocean Infinity bagi memberikan taklimat mengenai cadangan 'tidak jumpa, tiada bayaran' terbaru mereka.

Loke turut berjanji akan melakukan segala usaha bagi mendapatkan kelulusan Kabinet bagi menandatangani kontrak baharu dengan Ocean Infinity untuk memulakan pencarian semula pesawat itu secepat mungkin.

Loke berkata, tragedi malang itu adalah satu wake-up call kepada sektor penerbangan dalam dan luar negara.

Katanya, kerajaan juga mengambil serius mengenai Laporan Siasatan Keselamatan ke atas kehilangan pesawat MH370 yang dikeluarkan oleh Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia.

"Dan melaksanakan perubahan yang perlu untuk meningkatkan keselamatan penerbangan.

"Di peringkat antarabangsa, Malaysia juga menyokong usaha berterusan ICAO untuk mengukuhkan rejim pengesanan pesawat global," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 12:01 PM