PASUKAN Tentera Laut Amerika Syarikat menggunakan Bluefin-21 untuk mencari bangkai pesawat MH370.
PASUKAN Tentera Laut Amerika Syarikat menggunakan Bluefin-21 untuk mencari bangkai pesawat MH370.
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Hari ini Jumaat genap sedekad kehilangan misteri pesawat MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal yang masih menjadi tanda tanya.

Misteri kehilangan MH370 dalam penerbangan menuju ke Beijing, China pada 8 Mac 2014 lalu membuatkan seluruh dunia tertanya-tanya apa yang berlaku atau bagaimana nasib ratusan nyawa yang menaiki pesawat itu terutama keluarga mereka.

Sejak itu, pelbagai spekulasi dan teori konspirasi timbul antaranya kegagalan mekanikal, sabotaj mahupun rampasan bagi mengaitkan punca kehilangan pesawat malang itu.

Pada tahun pertama, laporan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mendedahkan kehilangan misteri MH370 dianggap satu keadaan dipanggil pesawat zombie.

Teori pesawat zombie yang dikemukakan pakar adalah satu keadaan di mana pesawat itu terbang tanpa dapat dikawal - kemungkinan berpunca akibat kuasa elektrik terputus.

Reuters yang memetik beberapa sumber terbabit dalam siasatan juga selepas seminggu kehilangan MH370 melaporkan, pesawat itu dipercayai terbang merentasi Semenanjung Malaysia menuju ke kepulauan Andaman yang terletak di India berdasarkan data radar pengesan tentera.

Kemudian, sebuah portal berita antarabangsa secara eksklusif pada 2016 melaporkan, dokumen siasatan mendedahkan, juruterbang pesawat itu, Kapten Zaharie Ahmad Shah melakukan simulasi penerbangan ke sebuah pulau di Lautan Hindi yang terpencil, dipercayai Diego Garcia kira-kira sebulan sebelum pesawat itu hilang.

Beberapa laporan yang memetik kenalan rapat lelaki itu juga memaklumkan Zaharie mempunyai kemahiran dan kemampuan mendaratkan pesawat Boeing B777-200ER di landasan terpendek.

Lelaki itu dikaitkan sebagai dalang atau kambing hitam bagi 'melenyapkan' pesawat bersama semua 'isi' di dalamnya disebabkan penemuan landasan Diego Garcia dalam simulator penerbangan miliknya.

Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pakar teknikal Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) tidak menemui bukti menunjukkan Zaharie merancang merampas penerbangan itu selepas memeriksa simulator penerbangannya dengan teliti sekali gus menamatkan spekulasi.

Ada juga desas-desus mendakwa Zaharie bertindak membunuh diri bersama semua penumpang seperti pendedahan dibuat bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott dalam program dokumentari Sky News pada Februari 2020.

Namun, perkara itu disangkal beberapa pihak termasuk pemangku Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador termasuk pakar berkaitan dan beberapa waris mangsa dalam pesawat itu.

Kehilangan pesawat itu juga menarik minat pelbagai pihak bebas untuk menyiasat sendiri antaranya jurutera aeroangkasa Britain, Richard Godfrey dan pakar lain.

Godfrey yang juga anggota pengasas Kumpulan Bebas MH370 berusaha membongkar banyak teori konspirasi berkaitan pesawat itu selama bertahun-tahun.

Salah satu penemuannya dikongsikan dalam temubual rancangan Sunrise terbitan media Australia pada November 2021 dengan dakwanya, dia menggunakan data sistem penjejak baharu dari Weak Signal Propagation Reporter (WSPR) untuk mengesan kedudukan MH370.

Dakwanya, penggunaan WSPR turut digabungkan dengan data satelit, prestasi Boeing serta oseanografi untuk mengesan kedudukan sebenar MH370 iaitu pada kedalaman 4,000 meter dan kira-kira 2,000 kilometer di barat Perth.

Spekulasi kehilangan pesawat itu kembali hangat diperkatakan apabila beberapa gambar wajah individu persis mangsa tragedi itu tular di media sosial selepas dimuat naik di Facebook pada Ogos 2022.

Berdasarkan perkongsian itu, mangsa didakwa berada di sebuah pulau terpencil, Diego Garcia yang terletak di Lautan Hindi namun dinafikan beberapa waris yang mengesahkan individu terbabit bukan ahli keluarga mereka yang hilang dalam MH370.

Kini, 10 tahun berlalu, pencarian pesawat itu tetap menemui jalan buntu sejak operasi pencarian bawah air dilakukan Ocean Infinity ditamatkan pada Jun 2018.

Apapun MH370 tidak seharusnya dijadikan bahan spekulasi sensasi sehingga mengganggu tugas pihak berkuasa atau lebih utama mengguris hati waris yang setia menanti khabar insan tersayang mereka.

Adalah lebih baik, kita berhati-hati atau tidak berlebihan dalam mengeluarkan kata-kata apatah lagi hanya bersumberkan teori yang tidak tahu kesahihannya.

Justeru, dengan mengambil keberkatan penghulu segala hari, sama-samalah kita berdoa semoga ada keajaiban.

Operasi RM1 bilion

Operasi pencarian pesawat MH370 yang hilang 10 tahun lalu, menelan belanja termahal dalam sejarah dunia apabila mencecah hampir RM1 bilion.

Memetik beberapa laporan media sebelum ini, jumlah perbelanjaan bagi mengesan MH370 itu AS$200 juta (RM812.91 juta pada 2018) meliputi kawasan seluas 120,000 kilometer persegi.

Kos membabitkan perbelanjaan operasi pencarian termasuk aset digunakan seperti pesawat, kapal selam dan satelit dari 26 negara yang menyertai operasi pencarian pesawat itu dimulakan pada 2014.

Memetik laporan Reuters pada April 2014, perbelanjaan bagi bulan pertama pencarian MH370 mencecah AS$44 juta - tidak merangkumi semua aset pertahanan yang digunakan oleh negara termasuk Britain, Perancis, New Zealand dan Korea Selatan.

Perbelanjaan itu juga tidak termasuk kos lain seperti pesawat awam, penginapan ratusan kakitangan dan perbelanjaan bagi penganalisis perisikan di seluruh dunia.

Pakar penyelamat meramalkan, kos operasi carian MH370 boleh mencecah ratusan juta dolar sekali gus menepati jangkaan.

Bagi Malaysia sahaja, negara ini membelanjakan RM456 juta sebelum operasi di Lautan Hindi digantung sementara pada 17 Januari 2017. Jumlah itu disahkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika menjawab soalan William Leong Jee Keen (PKR-Selayang) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Mac 2017.

Kemudian, pencarian disambung semula Ocean Infinity, syarikat dilantik dari Amerika Syarikat pada 3 Januari 2018 selepas Malaysia mengadakan perjanjian no find, no fee dengan tawaran sehingga AS$70 juta (kira-kira RM322 juta - mata wang pada 2018) jika serpihan pesawat ditemui.

Namun selepas lima bulan gagal menemui petunjuk baharu, Ocean Infinity menamatkan pencarian bawah air untuk MH370 pada Jun 2018.

Terbaharu pada Ahad lalu, Loke memaklumkan pendirian kerajaan sedia mempertimbangkan pelaksanaan operasi pencarian selanjutnya jika ada petunjuk baharu kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 12:00 PM