SIM Chon Siang (kiri) ketika meninjau projek paip pembetungan di Jalan Teluk Sisek, Kuantan. FOTO Asrol Awang
SIM Chon Siang (kiri) ketika meninjau projek paip pembetungan di Jalan Teluk Sisek, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang

Kuantan: Masalah jalan sesak kesan daripada pelaksanaan projek paip pembetungan di Jalan Teluk Sisek di sini dijangka siap akhir April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, kerajaan Pahang sudah mengarahkan kontraktor, Jalur Cahaya Sdn Bhd untuk menyiapkan projek itu sebelum 30 April ini.

Katanya, kelewatan projek berkenaan sudah mendapat perhatian dalam dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan kontraktor diminta memberikan penerangan mengenai status projek yang dilaksanakan.

"Ini bagi menyelesaikan masalah kesesakan dan tempat parkir terhad terutama di kawasan Jalan Teluk Sisek.

"Kita minta mereka turap dan siapkan segera serta menyediakan pengawal lalu lintas di sekitar kawasan terbabit bagi memastikan keselamatan kepada pengguna jalan raya," katanya ketika dihubungi, di sini.

Semalam, Harian Metro melaporkan keluhan pengguna jalan raya berdepan kesesakan lalu lintas teruk terutama pada waktu puncak susulan kelewatan menyiapkan projek paip pembetungan di Jalan Teluk Sisek di sini.

Projek itu menyebabkan beberapa jalan terpaksa ditutup, selain laluan menjadi sempit apabila laluan yang dulunya dua hala menjadi satu hala.

Sim berkata, pihak kontraktor juga perlu menurap jalan yang berlubang dan kerajaan negeri memberi tempoh sehingga 30 April depan untuk pihak kontraktor menyiapkan kerja itu.

"Jika gagal, mereka akan didenda RM100,000 bagi setiap hari selepas tarikh yang diberikan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Jalur Cahaya Sdn Bhd, Razali Mohamed berkata, pihaknya sudah menerima surat amaran daripada kerajaan negeri.

"Saya ingin memaklumkan bahawa kerja banyak tertangguh akibat musim pandemik sejak 2020 selain faktor masalah utama seperti aliran air dalam tanah.

"Bagi kerja pembetungan, kita perlu menggali sedalam 10 hingga 15 meter dan keadaan pasir yang halus dan aliran air sememangnya menyukarkan kerja.

"Bagaimanapun kami akan berusaha menyiapkan kerja mengikut tempoh yang diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 7:00 AM