Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kerajaan menubuhkan satu pasukan khas bagi menangani projek 'sakit' dan lewat siap membabitkan pembinaan hospital serta klinik kesihatan di negara ini.

Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pasukan khas itu ditubuhkan dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ketua Setiausaha (KSU) kedua-dua kementerian akan mengetuai pasukan khas berkenaan, antara pendekatan yang dicadangkan adalah mengenal pasti punca kelewatan.

"Kita bersetuju menubuhkan membabitkan KKR dan KKM supaya ada pasukan khusus untuk melihat dan mencari jalan memastikan masalah ini dapat ditangani," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Tender dan Penyerahan Projek Siap di bawah Pelaksanaan Kementerian Kerja Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Fadillah berkata, kontraktor tidak menghadapi masalah bagi menyiapkan sesuatu projek sekiranya mereka tidak menghadapi masalah kewangan.

"Masalah mungkin berlaku disebabkan pembinaan sesuatu projek membabitkan reka bentuk atau kelewatan membuat keputusan atau mungkin perkara lain.

"Pembinaan hospital dan klinik kesihatan amat mencabar menyebabkan ada hospital tidak dapat disiapkan.

"Walaupun satu projek fasiliti kesihatan lewat, kita ambil serius kerana hospital adalah keperluan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 5:36 PM