PENGERUSI Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang (kiri) ketika meninjau projek paip pembetungan di Jalan Teluk Sisek, Kuantan. FOTO Asrol Awang
PENGERUSI Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang (kiri) ketika meninjau projek paip pembetungan di Jalan Teluk Sisek, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang

Kuantan: Kelewatan menyiapkan projek paip pembetungan di Jalan Teluk Sisek di sini menyebabkan pengguna jalan raya berdepan kesesakan lalu lintas teruk terutama pada waktu puncak.

Ini kerana beberapa jalan di kawasan itu terpaksa ditutup untuk membolehkan projek itu dilaksanakan, selain laluan menjadi sempit apabila laluan menjadi satu hala berbanding dua hala sebelum ini.

Antara jalan yang dikatakan sesak ialah di Jalan Teluk Sisek dan Jalan Tanjung Lumpur-Soi di sini.

Bagi pengguna jalan raya, Hanapi Mat Ripin, 50, berkata, kesesakan lalu lintas berlaku sudah lama iaitu sejak pelaksanaan projek kira-kira lima tahun lalu.

"Masalah utama yang sering berlaku ialah pada waktu pagi dan tengah hari ketika menghantar serta mengambil anak sekolah.

"Saya harap projek ini dapat disiapkan segera kerana masalah utama yang berlaku apabila projek ini menyebabkan kesesakan yang ketara," katanya.

Sementara itu, Mazahari Mahadi, 44 berkata, dia memohon pelaksanaan projek itu dapat diselesaikan segera demi keselesaan pengguna.

"Saya difahamkan projek ini sudah lama dan berlaku kelewatan disebabkan penularan Covid-19, tetapi ia perlu disiapkan untuk memberi keselesaan kepada orang ramai, khususnya pengguna jalan raya," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati pelaksanaan kerja paip pembentungan masih dilakukan mengikut jadual ditetapkan.

Pada masa sama, kontraktor yang terbabit dalam projek itu turut memasang sepanduk dengan memohon maaf di atas gangguan trafik yang dialami pengguna jalan raya berikutan pelaksanaan projek berkenaan.

Pada sepanduk itu turut tertera tarikh siap pada 30 April 2024.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 7:15 AM