GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Padah menghalang penjawat awam menjalankan tugas, seorang jurutera didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, B Karthikeyan, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret S Mageswary.

Mahkamah turut menetapkan penjara sebulan jika gagal membayar denda terbabit.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menghalang pegawai kanan polis, Inspektor KV Suresh untuk menjalankan tugas dengan cara enggan memberikan kerjasama semasa meminta mengemukakan dokumen pengenalan diri dan mengeluarkan kata-kata kasar berunsur provokasi di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada jam 5 pagi, Sabtu lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Sareeka Balakrishnan memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak melakukan kesalahan yang sama.

Peguam SK Loges memohon hukuman denda yang rendah kerana anak guamnya menanggung keluarga dan ini kesalahan pertama tertuduh.

"Tertuduh insaf dan kesal terhadap kesalahan yang dilakukan. Dengan ini, saya memohon satu hukuman berbentuk denda yang paling minimum dikenakan kepada anak guam memandangkan dia sudah mengaku bersalah pada hari ini dan dia juga direman selama tiga hari.

"Pengalaman itu juga memberikan satu pengajaran kepada anak guam saya," katanya.

Sementara itu, di mahkamah yang sama tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kedua iaitu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri untuk pemeriksaan polis.

Pertuduhan mengikut bawah Peraturan 25(1)(N) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Sareeka menawarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Mageswary membenarkan Karthikeyan diikat jamin RM800 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua dan menetapkan 21 Mac untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 3:32 PM