GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan


Petaling Jaya: Padah menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis, dua ibu tunggal dijatuhi hukuman denda masing-masing RM2,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Majistret, Zhafran Rahim Hamzah, memutuskan hukuman berkenaan selepas dua tukang urut warga Vietnam, Tu Dong Thuy Hoa dan Thi Lan Giang masing-masing berusia 33 tahun mengaku bersalah atas tuduhan terbabit.

Mahkamah juga mengarahkan mereka dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mencari langganan bagi persundalan dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis berpangkat koperal di sebuah bilik hotel di Taman Equine, Seri Kembangan, jam 6 petang, 27 Jun lalu.

Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, peguam bela yang mewakili kedua-dua tertuduh, MS Jasmine Faith memohon hukuman berbentuk denda atas alasan anak guam berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

"Dua anak guam masing-masing perlu tanggung seorang anak berusia lima dan 10 tahun serta memohon maaf atas perbuatan itu.

"Anak guam direman selama 15 hari sejak ditangkap selepas bekerja selama dua hari sebagai tukang urut, ia menjadi pengajaran kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 2:07 PM