GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menghalang tugas dan mengeluarkan kata kesat kepada pegawai kanan polis berpangkat ASP, tiga hari lalu.

K Gopi, 34, didakwa menghalang tugas ASP Khairil Azuad Abd Azis dengan enggan memberikan keterangan membabitkan satu laporan polis yang diarahkan pegawai kanan polis itu di Pejabat Bahagian D6, Tingkat 3, Menara Bukit Aman, Dang Wangi, di sini pada 12.10 tengah hari, 5 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa mengeluarkan perkataan kesat dan kurang sopan terhadap pegawai polis sama pada tempat, masa dan tarikh serupa, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Sareeka Balakrishnan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh, namun peguam K Shunmugam mewakili tertuduh memohon jaminan diberikan atas alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan iaitu sakit leher yang memerlukan rawatan perubatan selain mempunyai tanggungan keluarga.

Majistret S Mageswary membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 6:25 PM