Pengusaha kuih bakul, B Balamurali menunjukkan produknya kepada Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar ketika mengadakan Walkabout di Bazar Taman Johor Jaya di sini petang semalam.
Pengusaha kuih bakul, B Balamurali menunjukkan produknya kepada Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar ketika mengadakan Walkabout di Bazar Taman Johor Jaya di sini petang semalam.
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kes penipuan atau scam termasuk penipuan pelaburan dan pinjaman tidak wujud semakin meningkat di negeri ini dengan mencatat 534 kes membabitkan kerugian lebih RM26 juta setakat Januari lalu.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, jumlah itu merekodkan peningkatan 131 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

Beliau berkata, pada Januari 2023, 231 kes sama dilaporkan membabitkan kerugian kira-kira RM8.4 juta.

"Kes penipuan pelaburan merekodkan jumlah kerugian tertinggi iaitu lebih RM11.4 juta membabitkan 107 kes sepanjang Januari sahaja.

"Jumlah itu mencatatkan peningkatan mendadak berbanding 37 kes dilaporkan dalam tempoh sama tahun lalu membabitkan kerugian RM1.7 juta, iaitu peningkatan RM9.69 juta," katanya.

Kumar berkata demikian pada sidang media selepas program 'walkabout' di Bazar Taman Johor Jaya, di sini, petang semalam.

Kumar berkata, kes penipuan yang turut menyumbang kepada peningkatan statistik itu ialah penipuan tawaran kerja membabitkan kerugian lebih RM26 juta daripada 77 kes dilaporkan, 127 kes penipuan belian atas talian (RM1.14 juta) dan 77 kes pinjaman tak wujud (RM1.28 juta).

Beliau menasihati masyarakat supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah menjadi sasaran scammer, lebih-lebih lagi pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini yang mana penjenayah terbabit menawarkan pulangan lumayan.

"Hampir setiap hari kami terima laporan kes penipuan malah mangsa pula membabitkan pelbagai latar belakang, termasuk golongan profesional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 1:21 PM