FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Sebuah syarikat swasta rugi lebih RM450,000 apabila mendakwa ditipu selepas berurusan menerusi emel dengan sebuah syarikat pembekal.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pada Selasa lalu, pihaknya menerima laporan polis dibuat seorang wanita tempatan berusia 44 tahun yang juga eksekutif akaun di sebuah syarikat swasta.

Menurutnya, pengadu mendakwa syarikatnya mengalami kerugian berjumlah RM464,400 selepas menerima emel daripada syarikat 'pembekal' yang mengarahkan pembayaran dibuat ke akaun lain dari akaun yang biasa digunakan.

"Menurut pengadu, pada pertengahan bulan ini, pihaknya berurusan dengan pembekal melalui emel syarikat bagi pembelian minyak sawit bernilai RM464,400.

"Pihak syarikat seterusnya ada menerima emel balas dipercayai daripada pembekal terbabit yang mengarahkan pembayaran dibuat ke akaun bank didakwa sebagai akaun kedua.

"Tanpa sebarang syak dan keraguan, syarikat pengadu membuat pindahan wang ke akaun yang diarahkan dan selepas bayaran dijelaskan mereka turut menerima emel yang menawarkan potongan harga bagi pembelian seterusnya," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Kumar, pengadu mula rasa berasa curiga dan membuat semakan emel pembekal sebenar dan mendapati terdapat perbezaan pada alamat sebenar berbanding emel diterima.

"Pengadu juga menghubungi pembekal untuk pengesahan dan

mendapati pembekal sebenar tidak ada menghantar emel mengarahkan pembayaran dibuat ke akaun yang dinyatakan dan pihak mereka juga belum menerima bayaran atas tempahan yang dibuat.

"Pengadu syak emel syarikat diceroboh yang menyebabkan syarikat membuat pembayaran kepada pihak lain dan mengalami kerugian," katanya.

Kumar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara Itu, Kumar memaklumkan, jumlah kes jenayah komersial di Johor bagi tempoh Januari hingga 17 Februari 2024 adalah 719 kes berbanding 453 kes bagi tempoh sama pada 2023.

"Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 266 kes atau 59 peratus dengan kes penipuan adalah penyumbang tertinggi iaitu 651 kes atau 91 peratus.

"Dari sudut kerugian pula, pada tempoh sama tahun ini, jumlah kerugian yang direkodkan adalah sebanyak lebih RM33.88 juta berbanding lebih RM17.74 juta pada 2023 iaitu peningkatan sebanyak lebih RM16,13 juta atau 91 peratus," katanya.

Jelas Kumar, daripada keseluruhan 719 kes yang disiasat, 664 kes atau 92 peratus berlaku secara dalam talian yang mana mangsa tidak pernah bertemu dan tidak mengenali suspek, yang melibatkan antaranya kes belian dalam talian, pelaburan, tawaran kerja, pinjaman wang dan 'phone scam'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 10:21 AM