Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan melambai pada hadirin yang hadir di  Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, sebelum berangkat ke Kuala Lumpur hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan melambai pada hadirin yang hadir di Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, sebelum berangkat ke Kuala Lumpur hari ini.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seorang pekerja Malaysia di Singapura bergegas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, di republik itu, bagi menyaksikan keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, pagi ini.

K Vadivelu, 48, pembantu kargo di lapangan terbang itu berkata, dia bergegas kembali ke sini sebaik tamat syif bekerjanya pada 5 pagi tadi.

Dia tidak mahu melepaskan saat bersejarah bagi menyaksikan Sultan Ibrahim berarak bersama konvoi Diraja ke Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini, untuk berangkat ke Istana Negara.

"Saya sangat mengagumi Sultan Ibrahim kerana baginda adalah Sultan yang amat prihatin dan banyak membantu rakyat termasuk masyarakat India negeri ini.

"Oleh kerana itulah, saya tidak mahu melepaskan peluang keemasan dan saat bersejarah bagi menyaksikan sendiri Sultan Ibrahim walaupun saya keletihan kerana masih belum tidur sejak semalam," katanya ketika ditemui menanti konvoi Diraja, pagi ini.

Lebih 30,000 rakyat negeri ini memenuhi laluan dari Istana Bukit Serene di sini sehingga LTAS, sejauh 35.5 kilometer (km).

Ia sempena keberangkatan Sultan Ibrahim ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berangkat keluar dari pintu utama Istana Bukit Serene di sini, pada 8 pagi bersama konvoi Diraja ke LTAS, sebelum menaiki pesawat khas ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Hasbullah Halim, 53, berkata, dia mengambil cuti hari ini bagi membawa keluarganya menyaksikan keberangkatan Sultan Ibrahim, pagi ini.

Katanya, dua anaknya yang masing-masing berusia 10 dan sembilan tahun paling teruja untuk menyaksikan keberangkatan Sultan Ibrahim ke Istana Negara.

"Dua anak saya Mohd Shah Iqram, 10 dan Nur Aishah Ufairah, 9, tidak dapat tidur semalaman kerana terlalu teruja dan tidak mahu terlewat menyaksikan keberangkatan Sultan Ibrahim, pagi ini.

"Kami sekeluarga sudah bersiap sejak 5 pagi sebelum memutuskan untuk menunggu Sultan Ibrahim di Jalan Skudai, sejak 6.30 pagi tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 9:35 AM