BERNAMA

Kuala Lumpur: Sultan Johor Sultan Ibrahim selamat tiba di ibu negara bagi menghadiri Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara.

Pesawat peribadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) yang membawa Seri Paduka Baginda tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, dekat sini kira-kira 9.40 pagi.

Ketibaan baginda di lapangan terbang disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Sultan Salahuddin.

Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku menteri pengiring.

Keberangkatan Sultan Ibrahim turut disambut orang ramai di luar pangkalan TUDM yang tidak ingin melepaskan peluang untuk memberikan lambaian kasih kepada Seri Paduka Baginda ketika kenderaan menuju Istana Negara.

SULTAN Ibrahim selamat tiba di ibu negara bagi menghadiri Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara. FOTO Bernama
SULTAN Ibrahim selamat tiba di ibu negara bagi menghadiri Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 10:26 AM