ANGGOTA tentera melakukan perbarisan kawalan kehormat sempena raptai Istiadat Lafaz Sumpah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16.
ANGGOTA tentera melakukan perbarisan kawalan kehormat sempena raptai Istiadat Lafaz Sumpah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16.
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia sekali lagi akan menyaksikan pengisytiharan Ketua Negara baharu apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam satu istiadat di Istana Negara, hari ini.

Sebagaimana termaktub dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan, baginda akan melafaz sumpah dengan disaksikan Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) yang akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara.

Dengan pengisytiharan itu, Al-Sultan Abdullah yang menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan pada 6 Januari lalu akan menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Mesyuarat khas itu juga akan menyaksikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Pemilihan Al-Sultan Abdullah menzahirkan kesepakatan dan keharmonian dalam kalangan sultan dan raja Melayu membuat keputusan penggiliran mengikut peruntukan perlembagaan dalam masa yang singkat, sekali gus mendokong sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan Malaysia.

Kira-kira 500 tetamu jemputan terdiri daripada kerabat diraja, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, Ketua Hakim Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara serta dif-dif kenamaan dijangka menghadiri istiadat berkenaan.

Sempena istiadat itu, Pahang mengumumkan cuti peristiwa hari ini bagi membolehkan rakyat meraikan dan mengikuti upacara itu memandangkan kali terakhir detik bersejarah seumpama itu berlaku adalah kira-kira empat dekad lalu, apabila Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh (1979-1984).

Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dijangka berangkat dari Istana Abdulaziz, Kuantan seawal 7 pagi ke ibu negara bagi menghadiri istiadat berkenaan.

Upacara di ibu negara akan bermula dengan keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 8.30 pagi.

Menurut buku atur cara istiadat, rombongan diraja kemudian akan berangkat ke Dataran Parlimen bagi acara sambutan rasmi sebelum ke Istana Negara untuk istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 8:38 AM