Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Laungan Daulat Tuanku dan Allah Panjangkan Usia Tuanku dilaungkan ribuan rakyat Johor ketika Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, menyelurusuri Jalan Skudai di sini, pagi ini.

Tinjauan di Jalan Skudai mendapati ribuan rakyat Johor sudah memenuhi perkarangan laluan itu seawal 6.45 pagi.

Rakyat yang memenuhi laluan berkenaan bukan sahaja membawa bendera Malaysia dan Johor, malah memegang sepanduk 'Menjunjung Kasih Tuanku'.

Sultan Ibrahim dilihat melambai mesra kepada rakyat yang teruja yang melaungkan Daulat Tuanku.

Lebih 30,000 rakyat negeri ini membabitkan pelbagai lapisan masyarakat memenuhi laluan dari Istana Bukit Serene sehingga LTAS, sejauh 35.5 kilometer (km).

Ia sempena keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Istana Negara bagi Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berangkat keluar dari pintu utama Istana Bukit Serene di sini, pada 8 pagi bersama rombongan ke LTAS untuk menaiki pesawat khas ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut berada di Hangar Diraja LTAS bagi menyambut baginda.

Sultan Ibrahim dijangka tiba di Pangkalan TUDM Subang, pada 9.45 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 8:41 AM
Kenderaan membawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim beredar keluar dari perkarangan Istana Bukit Serene menuju Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, hari ini. FOTO BERNAMA
Kenderaan membawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim beredar keluar dari perkarangan Istana Bukit Serene menuju Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, hari ini. FOTO BERNAMA