Anggota PPM bersama remaja dan barangan rampasan selepas menahannya di perairan Pitas, dekat Kudat semalam. Foto Juwan Riduan
Anggota PPM bersama remaja dan barangan rampasan selepas menahannya di perairan Pitas, dekat Kudat semalam. Foto Juwan Riduan
Juwan Riduan

REMAJA lelaki ditahan selepas disyaki cuba menyeludup petrol dan tong gas ke negara jiran di perairan Pitas, dekat Kudat semalam.

Dalam kejadian itu, remaja berusia 17 tahun terbabit ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat selepas dikesan menggunakan bot pam untuk membawa keluar barangan bersubsidi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kudat Asisten Superintendan Rizauddin Selamat berkata, remaja itu dikesan dalam Op Gelora Khas.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap bot pam terbabit mendapati remaja berkenaan membawa 30 tong gas, empat tong plastik saiz besar dan enam tong saiz kecil dipercayai berisi petrol.

"Berdasarkan risikan, remaja lelaki berkenaan didapati membawa bekalan petrol sedikit demi sedikit dari pekan dan dikumpulkan di sebuah kawasan pondok yang sukar dilalui dan dilihat orang ramai.

"Kegiatan remaja ini akhirnya berjaya dikesan oleh polis dan bot yang digunakan untuk memunggah dan membawa minyak petrol tersebut turut dirampas," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Rizauddin berkata, bot dan semua barangan rampasan kemudiannya dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Katanya, nilai keseluruhan hasil daripada tangkapan dan rampasan ini berjumlah keseluruhan kira-kira RM20,640.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawasan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan-Peraturan kawalan bekalan.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda RM1 juta dan penjara tiga tahun untuk perseorangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 4:14 PM