BARANG kawalan yang dirampas PPM selepas dua lelaki ditahan ketika cuba menyeludup barang berkenaan ke negara jiran. FOTO Ihsan PPM.
BARANG kawalan yang dirampas PPM selepas dua lelaki ditahan ketika cuba menyeludup barang berkenaan ke negara jiran. FOTO Ihsan PPM.
Juwan Riduan
am@hmetro.com.my


Kudat: Dua lelaki lari lintang pukang dengan meninggalkan barang kawalan yang cuba di seludup ke negara jiran di kawasan laut Pulau Malawali, di sini, semalam selepas kegiatan mereka dikesan Pasukan Polis Marin (PPM).

Dalam kejadian jam 10 malam itu, anggota PPM Kudat yang sedang melakukan rondaan di kawasan laut berkenaan mengesan sebuah bot pam yang disyaki muatan barang kawalan menuju ke sempadan negara.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyrill Douglas berkata, anggotanya kemudian bertindak mengekori bot berkenaan untuk pemeriksaan.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, dua lelaki yang sedang menaiki bot pam itu bertindak melarikan diri ke kawasan daratan pulau berkenaan tanpa dikesan.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot menemui barang kawalan yang disyaki untuk dibawa ke Filipina," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Cyill berkata, bot dan barang dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

"Antara barang kawalan yang dirampas iaitu minyak masak, petrol dan tong gas yang dianggarkan berjumlah RM17,658.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Beliau berkata, PPM sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 8:53 PM