Mazli Mazlan (kiri) bersama Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Negeri Terengganu, Kasman Embong (dua kanan) melihat motosikal dan kereta yang akan dilucutkan. FOTO GHAZALI KORI
Mazli Mazlan (kiri) bersama Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Negeri Terengganu, Kasman Embong (dua kanan) melihat motosikal dan kereta yang akan dilucutkan. FOTO GHAZALI KORI
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Sebanyak 62 kenderaan pelbagai jenis bernilai RM2.8 juta kerana terbabit dalam jenayah dadah dilucuthak oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mazli Mazlan berkata, hasil lucuthak itu, sebanyak 15 kenderaan termasuk 11 motosikal dihadiahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Menurutnya, baki kenderaan yang dilucuthak akan dilelong melalui lelongan awam.

"Kita (polis) berharap pemberian ini dapat dimanfaatkan pelajar yang mengambil jurusan automotif di sekolah.

"Baki 47 lagi kenderaan iaitu 34 motosikal dan 13 kereta akan dibuat lelongan awam dengan nilai rampasan yang berjaya dilucuthak pada tahun lalu iaitu berjumlah RM2.8 juta," katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penyampaian Kenderaan Lucuthak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu kepada JPNT, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran JPNT, Kasman Embong.

Menurutnya, pada 2020 lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu turut menghadiahkan sebanyak 19 kenderaan lucuthak kepada JPNT.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 2:39 PM