GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


JABATAN Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) memberi kelonggaran kepada 151 pengurusan sekolah menengah melakukan pemeriksaan suhu badan pelajar dalam kawasan sekolah.

Pengarah JPNT, Salim Ab Ghani berkata, kelonggaran pemeriksaan suhu pelajar itu diberikan kerana kebanyakan sekolah menengah di Terengganu berada berhampiran jalan utama.

Beliau berkata, walaupun prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pemeriksaan suhu badan perlu dilakukan di luar kawasan sekolah, tetapi keselamatan 9,000 pelajar tingkatan lima dan enam perlu diutamakan.

"Kami perlu mengutamakan keselamatan pelajar yang terdedah kepada ancaman bahaya, termasuk dilanggar kenderaan.

"Pengurusan 151 sekolah menengah yang akan dibuka Rabu depan diberi kelonggaran agar melakukan pemeriksaan suhu pelajar dalam kawasan sekolah iaitu selepas pintu pagar utama," katanya ditemui ketika mewakili JPNT menerima sumbangan daripada ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc (ExxonMobil) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Pada majlis itu, Pengerusi dan Presiden Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Edward Graham menyerahkan replika cek kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum disampaikan kepada JPNT dan Jabatan Kesihatan negeri.

Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Datuk Zainal Abidin Hussin, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus dan Pengurus Operasi Hal Ehwal Awam dan Kerajaan, Ida Ruzaini Altahari.

Salim berkata, semua pengurusan sekolah menengah sudah membuat persiapan rapi termasuk melakukan penjarakan meja dan kerusi pelajar di dalam kelas.

Beliau berkata, semua SOP ditetapkan kerajaan akan dilakukan untuk mencegah penularan Covid-19.

"Semua SOP digariskan kerajaan akan dilaksanakan, kita cuma membuat pindaan lokasi pemeriksaan suhu badan pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 10:53 PM