FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Balik Pulau: Polis menahan seorang wanita dan lelaki semalam kerana disyaki menjadi keldai akaun sindiket penipuan dalam kejadian baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata wanita berusia 36 tahun itu dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan pelaburan kripto yang tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM459,972.

Beliau berkata wanita itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di Sungai Petani, Kedah semalam, bagi membantu siasatan berkaitan laporan polis membabitkan mangsa di Bayan Lepas, di sini.

"Berdasarkan siasatan, mangsa telah membuat beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam beberapa akaun bank berbeza melibatkan nilai keseluruhan RM459,972," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kamarul Rizal berkata lelaki itu pula dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan yang memperdaya mangsa dengan peluang pekerjaan sambilan secara dalam talian.

Beliau berkata mangsa telah membuat beberapa transaksi wang ke akaun bank berbeza membabitkan keseluruhan RM28,800 untuk mendapatkan komisen.

"Hasil maklumat dan risikan, polis menahan lelaki itu di Kangar, Perlis semalam bersangkut kes di Bayan Lepas berkenaan," katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 2:33 PM