ASEORANG bekas kapten kapal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyeleweng 61,000 liter minyak diesel. FOTO Ghazali Kori
ASEORANG bekas kapten kapal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyeleweng 61,000 liter minyak diesel. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bekas kapten kapal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga tuduhan pecah amanah dengan menyeleweng 61,000 liter diesel menyebabkan kerugian hampir RM100,000, tahun lalu.

Tertuduh, Azli Mohd Noor, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh selaku yang diamanahkan menjaga kapal didakwa melakukan pecah amanah dengan menyeleweng 26,000 liter diesel dan menyebabkan kerugian RM41,600.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar perairan Kuala Terengganu pada 12 Februari 2023.

Tertuduh didakwa mengulangi kesalahan sama membabitkan 20,000 liter dan 15,000 liter diesel dengan kerugian berjumlah RM32,000 dan RM24,000 pada 20 serta 25 Februari 2023.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim, manakala tertuduh diwakili peguam Che Amir Che Musa.

Mahkamah menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 untuk semua pertuduhan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, peniaga, Teo Kok Chye, 52, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil dan menjual diesel yang diseleweng terbabit.

Kok Chye didakwa memindahkan harta curi iaitu mengambil dan menjual 61,000 liter diesel itu dari sebuah kapal yang diketahui sebagai harta curi pada Februari 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 21 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam Anisha De Silva.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 2:54 PM