Siti Aminah Mohd Yusof


Butterworth: Seorang pengarah syarikat yang menjalankan perniagaan jualan runcit bahan api automotif didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah di sini, hari ini, atas lapan pertuduhan membabitkan kesalahan berkaitan pembelian diesel, tahun lalu.

Lai Yong Keong, 45, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki terbabit memberi maklumat palsu dalam borang arahan mengemukakan maklumat di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 menerusi sembilan invois pembelian diesel bertarikh 26 Disember, 27 Disember dan 28 Disember 2022.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Tingkat 2, Kompleks Sempilai Jaya, Seberang Jaya, di sini, pada 18 Februari 2023, jam 10.30 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala dalam pertuduhan kedua hingga keempat, tertuduh yang mewakili syarikat Profusion Petroleum Sdn Bhd selaku pemegang lesen borong barang kawalan berjadual minyak diesel turut enggan mengemukakan dokumen penyata kewangan bank syarikat terbabit.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 17 Februari hingga 10 Mac 2023 di lokasi sama.

Bagi tiga kesalahan itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta yang sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Syazwani Zawawi dan Nor Alimah Mohd Sanusi manakala tertuduh diwakili peguam, Muhamad Asri Abdul Hamid.

Terdahulu, Syazwani menawarkan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain memohon syarat tambahan tertuduh melapor diri ke Pejabat KPDN Pulau Pinang setiap bulan selain dilarang berurusan dengan saksi-saksi pendakwaan.

Muhamad Asri memohon mahkamah mengenakan kadar jaminan minimum berikutan tertuduh memberikan kerjasama baik sejak kes itu disiasat tahun lalu termasuk hadir sendiri ke pejabat KPDN selepas dipanggil memberi keterangan semalam sebelum dia ditahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 iaitu bagi setiap pertuduhan iaitu berjumlah RM120,000 dan membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Sementara itu, dalam prosiding sama, Profusion Petroleum Sdn Bhd turut didakwa melakukan kesalahan serupa di lokasi dan masa sama berdasarkan empat lagi pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Yong Keong selaku wakil dan pemilik syarikat terbabit turut mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Noor Aini.

Syarikat yang diwakili tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 22 (4) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan disifatkan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta sama.

Syarikat itu berdepan hukuman denda maksimum RM2 juta bagi setiap pertuduhan dan kesalahan kali kedua atau kesalahan berulang tidak melebihi RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 3:31 PM
Lai Yong Keong (tengah) diiringi Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hadir atas lapan pertuduhan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana didapati telah mengemukakan maklumat palsu berhubung pembelian minyak diesel di Mahkamah Butterworth. FOTO DANIAL SAAD
Lai Yong Keong (tengah) diiringi Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hadir atas lapan pertuduhan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana didapati telah mengemukakan maklumat palsu berhubung pembelian minyak diesel di Mahkamah Butterworth. FOTO DANIAL SAAD