Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Bekas kerani Pejabat Daerah dan Tanah Seremban dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas 38 pertuduhan memalsukan dokumen pesanan tempatan, tahun lalu.

Tertuduh Maidzatul Ashra Mokhtar, 37, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibaca berasingan di hadapan Majistret Mohd Zaki Abdul Rahman dan Nurulfitriza Ab Latif.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memalsukan dokumen pesanan tempatan dengan tujuan menggunakan dokumen itu untuk menipu pegawai atasannya di Pejabat Daerah dan Tanah Seremban, di sini, pada 19 Februari tahun lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sara Afiqah Zulkipli dan Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Noliana Ali Othman.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM61,000 bagi semua pertuduhan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 1:36 PM
Maidzatul mengaku tidak bersalah atas 38 pertuduhan memalsukan dokumen pesanan tempatan  di Mahkamah Majistret Seremban. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Maidzatul mengaku tidak bersalah atas 38 pertuduhan memalsukan dokumen pesanan tempatan di Mahkamah Majistret Seremban. FOTO HAZREEN MOHAMAD