GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Seorang bapa tergamak memukul anak lelakinya berusia tiga tahun hanya kerana kanak-kanak itu terkencing di sofa ruang tamu di kediaman mereka di Taman Putra Damai, Lembah Subang, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian 11.50 pagi itu, lelaki berusia 29 tahun yang gagal mengawal kemarahannya itu turut bertindak memukul isterinya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, akibat kejadian itu, isteri suspek berusia 27 tahun dan kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan fizikal.

"Polis menerima laporan kejadian dan sudah menahan suspek. Lelaki itu direman bermula kelmarin hingga 7 Januari ini bagi membantu siasatan.

"Siasatan mendapati punca kejadian itu kerana anaknya terkencing di sofa ruang tamu," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2024 @ 6:06 PM