NIK EZANEE MOHD FAISAL
NIK EZANEE MOHD FAISAL
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Akibat terlalu marah terhadap anak perempuannya, seorang lelaki bertindak memukul kanak-kanak itu menggunakan kayu di rumahnya di Kelana Jaya, di sini, pada 31 Oktober lalu.

Malah, perbuatan suspek berusia 41 tahun itu memukul mangsa berusia 12 tahun terbabit disaksikan guru wanita ketika menjalankan sesi pembelajaran secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada guru wanita berusia 36 tahun itu yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Shah Alam pada 3.16 petang pada hari sama.

"Berdasarkan laporan, guru berkenaan memaklumkan melihat murid terbabit dipukul bapanya menggunakan kayu atau tongkat di bahagian belakang badan mangsa.

"Susulan itu, kami menahan suspek di tempat letak kereta Seksyen 8 Petaling Jaya kira-kira 4 petang, semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati suspek mendakwa memukul mangsa untuk mengajar anaknya supaya lebih peka ketika sesi pembelajaran secara dalam talian.

"Hasil soal siasat, suspek mengakui memukul anaknya dan lelaki terbabit dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah melakukan penilaian terhadap mangsa dan membuat keputusan kanak-kanak berkenaan diserahkan semula kepada keluarganya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 7:01 PM