GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Ibu tunggal dan kekasihnya ditahan polis selepas dipercayai mendera tiga anaknya di kediaman mereka di Kota Damansara, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menerima laporan pada jam 6.30 petang kelmarin daripada wanita berusia 45 tahun mengenai kes penderaan kanak-kanak oleh seorang penghuni di pangsapuri itu.

Menurutnya, wanita terbabit menerima aduan mengenai kejadian penderaan terbabit daripada penghuni lain.

"Pada Isnin lalu, dia ke sebuah unit kediaman untuk pemeriksaan dan pengesahan berkenaan aduan diterima.

"Wanita terbabit mendapati kediaman itu dihuni oleh ibu tunggal bersama tiga anaknya dan teman lelaki," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, wanita terbabit menasihati ibu tunggal terbabit supaya tidak memukul anaknya dan suspek menyerahkan anaknya iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun untuk dijaga wanita terbabit.

"Hasil pemeriksaan terhadap badan kanak-kanak terbabit mendapati kesan lebam dan kecederaan di anggota badan mangsa.

"Wanita terbabit kemudian membawa kanak-kanak itu ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut," katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menyerbu sebuah unit pangsapuri di Kota Damansara jam 4 petang semalam.

"Sepasang kekasih berusia 30 dan 38 tahun ditahan kerana disyaki melakukan penderaan terhadap kanak-kanak.

"Polis turut merampas tiga batang rotan pelbagai saiz dipercayai digunakan oleh suspek," katanya.

Beliau berkata, turut diselamatkan adalah seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

"Hasil pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati kesan kecederaan disyaki akibat penderaan.

"Pihak polis menahan kedua-dua suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana melakukan penderaan ke atas tiga kanak-kanak berusia empat sehingga tujuh tahun," katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa yang diselamatkan dihantar ke PPUM untuk rawatan lanjut dan akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 1:55 PM