GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Sungai Petani: Hanya kerana anak lelakinya tidak berhenti menangis, seorang lelaki tergamak memukul dan menghempas mangsa ke lantai rumah di Taman Seri Semeling, Bedong, Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada 12.30 tengah malam, ibu mangsa berusia 35 tahun berada di dalam bilik tidur kerana tidak sihat, sementara suspek berusia 29 tahun dan anaknya berusia dua tahun berada di ruang tamu rumah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, mangsa ketika itu tidak berhenti menangis menyebabkan suspek berasa tidak selesa sebelum terus memarahi dan memukulnya.

Menurutnya, suspek juga bertindak menghempas mangsa ke lantai menyebabkan kanak-kanak itu mengalami luka di hidung, mulut dan kepala selain lebam di dagu.

“Ketika kejadian ibu mangsa yang berada di dalam bilik tidur menyaksikan kejadian kerana pintu biliknya yang berhadapan ruang tamu terbuka.

"Susulan kejadian itu, ibu mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Bedong untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita terbabit berkahwin dengan suspek selama tiga tahun yang juga perkahwinan keduanya dan memiliki dua orang anak.

"Bertindak atas maklumat, pihak polis menahan suspek semalam dan direman empat hari bermula hari ini.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (a) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 7:22 PM