GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Shah Alam: Keperluan bagi semakan semula tarif air sangat mendesak kerana hampir semua syarikat yang menguruskan bekalan air di negara ini beroperasi dalam keadaan rugi, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim.

Beliau berkata kadar tarif air ketika ini adalah terlalu rendah sedangkan perbelanjaan modalnya (Capex) agak tinggi.

Sehingga kini di Selangor, katanya sudah lebih 20 tahun tidak dilakukan kajian semula berhubung pelarasan tarif air.

"Tarif air sudah lebih 20 tahun tidak ada kajian semula. Elektrik kerap juga. Sebenarnya hampir kesemua syarikat menguruskan air yang ada beroperasi dalam keadaan rugi. Sangat rugi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 9 November lalu berkata kerajaan negeri secara rentas parti, bersetuju pada mesyuarat Majlis Air Negara supaya tarif air di negeri disemak semula dan satu mekanisme penetapan tarif baharu diwujudkan bagi mengawal selia kadar kenaikan tarif oleh syarikat pengendali.

Dalam pada itu, Izham berkata setakat ini beberapa usaha telah dilaksanakan kerajaan Selangor untuk meningkatkan keuntungan syarikat yang menguruskan air antaranya pembinaan loji rawatan air baharu serta penggantian paip usang bagi mengurangkan air dalam tanah berikutan kebocoran paip.

Izham turut memberikan komitmen bahawa penerima bagi program pemberian air percuma Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang terdiri daripada golongan B40 negeri itu tidak akan terjejas susulan jangkaan kenaikan tarif air baharu.

"Penerima SADE ini tidak akan terkena dengan (kenaikan) tarif ini kerana yang terlibat hanyalah pengguna komersial dan domestik yang menggunakan air lebih daripada 20 meter padu," katanya.

Beliau berkata sehingga kini hampir 400,000 rakyat Selangor daripada golongan B40 dan berkelayakan telah mendaftar untuk program tersebut dan mereka yang ingin berbuat demikian boleh ke https://ssipr.selangor.gov.my/ untuk maklumat lanjut.

SADE merupakan program penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar penduduk Selangor dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 9:06 PM