ADLY ditemu bual selepas perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam.
ADLY ditemu bual selepas perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam.
Fairuz Zaidan


AYER KEROH: Kerajaan Melaka mempertimbangkan dua kaedah bagi menangani kenaikan tarif air yang dijangka berlaku tahun ini tanpa membebankan golongan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Dua kaedah itu memberikan insentif kepada kumpulan B40 dan menawarkan formula insentif kepada isi rumah yang melakukan penjimatan penggunaan sumber air.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, perkara itu kini dibincangkan bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

“Kita berbincang mengenai dua kaedah ini susulan peningkatan (tarif air) dijangka tetap berlaku.

“Insentif kepada B40 dan isi rumah yang melakukan penjimatan pada keseluruhan bil air antara formula mungkin boleh digunakan di Melaka bagi menangani kadar kenaikan tarif air,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Dataran Seri Negeri di sini, semalam.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar dan barisan Exco kerajaan negeri.

Terdahulu, Adly mengulas status tarif air di Melaka sama ada dikekal atau dinaikkan seperti diumumkan di beberapa negeri lain.

Sebelum ini, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bercadang menaikkan tarif air secara berperingkat tahun ini.

Setakat ini, Pulau Pinang mengesahkan tarif air negeri itu naik sehingga 20 peratus, Negeri Sembilan dan Perak masih mengkaji kesan kepada pengguna manakala Johor tidak menaikkan kadar tarif utiliti itu atas alasan melakukannya pada 2015.

Adly berkata, cadangan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk menaikkan tarif air memerlukan perbincangan terperinci memandangkan kadar tarif air berbeza di setiap negeri.

Ditanya mengenai faktor kenaikan tarif air di Melaka, Adly berkata, antaranya adalah kerana kerajaan terpaksa membeli sebahagian daripada sumber bekalan air dari negeri jiran untuk menampung keperluan bekalan air di negeri ini secara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 10:29 AM