Canberra: Kedutaan Indonesia semalam mengeluarkan nasihat kepada penduduk negara itu yang berada di Australia supaya lebih berwaspada menjelang pelaksanaan hukuman mati ke atas dua pengedar dadah di Bali.

Jurucakapnya, Sade Bimantara berkata, ribuan maklumat risikan mengenai keadaan semasa diterima pihak berkenaan.

“Ia dalam bentuk surat, telefon, e-mel dan sebagainya.

“Semua ini akan dihantar ke Jakarta,” katanya.

Dalam nasihat itu, pihak kedutaan meminta warga Indonesia tenang dan menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

“Cuma, mereka diminta berhati-hati, termasuk meneliti keadaan di sekitar tempat masing-masing,” katanya.

Sade juga menasihati warga Indonesia sentiasa membawa dokumentasi pengenalan diri pada setiap masa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:16 AM