Oleh Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Kerajaan Selangor akan menilai keperluan untuk menaikkan had minimum pendapatan mereka yang layak menerima Skim Air Darul Ehsan (Sade) kepada RM6,000.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan sasaran 600,000 pendaftaran bagi air percuma 20 meter padu setiap bulan dapat dicapai.

"Kita akan lihat, kalau tahun ini masih lagi (kurang pendaftaran), kita akan naikkan (had minimum pendapatan) sebab Selangor paras garis kemiskinan RM6,000 dan tidak mengikut nasional.

"Untuk itu, kita akan lihat balik bagaimana dan akan bawa (cadangan) supaya naikkan had minimum pendapatan isi rumah," katanya pada sidang media program Jelajah Kita Selangor Penyayang Daerah Sabak Bernam di Dataran Niaga Bagan Terap, di sini, semalam.

Menurutnya, setakat ini seramai 300,000 rakyat Selangor memohon Sade dan walaupun terdapat peningkatan jumlah pendaftaran namun ia dilihat masih rendah.

"Kita tidak pasti apa sebabnya. Pelbagai promosi dan publisiti telah dibuat.

"Mungkin rakyat merasa RM11 untuk satu rumah itu sedikit atau pun ada kemungkinan memberi peluang kepada orang lain.

"Tetapi, kita masih teruskan usaha untuk menggalakkan rakyat mendaftar selain melakukan publisiti," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang Daerah Sabak Bernam, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang Daerah Sabak Bernam, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 3:41 PM