GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesahkan seramai 184,020 pemegang akaun meter individu layak menerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang bermula 1 Mac lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Abdul Halem Mat Som berkata, sehingga tarikh tutup permohonan skim pada 31 Disember tahun lalu, kerajaan negeri menerima sebanyak 211,344 permohonan.

"Setiap permohonan melalui beberapa proses semakan silang termasuk maklumat kesahihan pendapatan menerusi data yang diperolehi daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), E-Kasih dan Bantuan Sara Hidup (BSH), serta data dan maklumat daripada Air Selangor berkenaan kesahihan alamat premis dan nombor akaun pengguna.

"Hasil semakan, daripada 211,344 permohonan yang diterima, hanya 184,020 pemegang akaun meter individu layak menerima skim ini.

"Bagi pengguna meter pukal di pangsapuri kos rendah, mereka akan terus menikmati 20 meter air percuma di bawah SADE secara automatik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Halem berkata, permohonan yang berjaya dan tidak berjaya akan dimaklumkan melalui emel atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Bagi pemohon yang mendaftar secara atas talian, mereka boleh menyemak keputusan SADE melalui Portal SSIPR dengan menggunakan nombor mykad dan nombor akaun Air Selangor.

"Pemohon yang mendaftar melalui borang bercetak, mereka boleh menyemak status permohonan melalui Carian (Semakan) di Portal IPR Kerajaan Negeri di https://ssipr.selangor.gov.my/semakan danpemohon boleh menyemak status permohonan mereka bermula 28 April lalu," katanya.

Beliau berkata, permohonan SADE ini dibuka semula kepada mereka yang layak mengikut kriteria ditetapkan bermula 1 April lalu secara atas talian di www.ssipr.selangor.gov.my atau memuat turun borang permohonan di laman sesawang www.airselangor.com.

"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Air Selangor menyarankan borang permohonan yang lengkap boleh dihantar melalui emel [email protected] kerana kaunter perkhidmatan di 10 pejabat wilayah Air Selangor masih ditutup," katanya.

Katanya, skim yang menawarkan pemberian 20 meter padu air percuma secara bersasar kepada penduduk Selangor yang layak itu adalah salah satu daripada program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) kerajaan negeri bagi menggantikan Program Pemberian Air Percuma.

"SADE adalah program penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar di Selangor untuk golongan yang berpendapatan bulanan isi rumah RM4,000 dan ke bawah.

"Permohonan SADE ini dibuka kepada penduduk di Selangor pada 30 September sehingga 31 Disember tahun dan kini pendaftaran SADE Fasa kedua dibuka mulai 1 April," katanya.

Berikutan pelaksanaan skim ini katanya, Program Pemberian Air Percuma kepada 1.6 juta pemegang akaun Air Selangor yang mula diperkenalkan pada 2008 turut berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 8:38 PM