ANTARA mangsa banjir yang menerima bantuan. FOTO Ihsan Kembara Amal Ventures
ANTARA mangsa banjir yang menerima bantuan. FOTO Ihsan Kembara Amal Ventures
Noor Hidayah Tanzizi dan Nur Elysa Amirah Suhaimi


Kuala Terengganu: Kembara Amal Ventures (Kave) selesai menyantuni 200 keluarga yang terjejas pasca banjir pada Misi Bantuan Kemanusiaan Banjir dan Sokongan Moral di Terengganu, kelmarin.

Pengasas Kave yang juga Pakar Motivasi Kepimpinan Diri, Keluarga dan Organisasi, Dr Azuraida Shahadan berkata, misi berkenaan bukan saja menyerahkan bantuan berupa barang keperluan, malah pihaknya turut memberi sokongan moral dengan pengisian program pengurusan tekanan kepada mangsa.

Menurutnya, misi sehari yang akan diadakan di Dewan Kondo Rakyat Kuala Ibai, Terengganu itu juga hasil kerjasama pihaknya bersama Great Eastern Takaful Berhad (GETB).

"Kami menyerahkan bantuan makanan harian seperti beras, bihun, kicap, makanan sedia dimakan dalam bentuk pes serta makanan sedia dimasak dalam bentuk kiub masakan nasi ayam, telur masin, mi kari, rendang dan laksa.

"Bantuan ini diharap dapat membantu meringankan beban mangsa banjir serta memberi semangat untuk terus cekal dalam menghadapi dugaan berkenaan," katanya pada majlis penyerahan bantuan berkenaan kepada pihaknya di Ampang, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif GETB, Shahrul Azlan Shahriman.

Azuraida berkata, pihaknya juga berharap dapat meluaskan bantuan misi berkenaan ke kawasan lain yang terjejas dengan bantuan mana-mana pihak yang boleh menyumbang.

Sementara itu, Shahrul Azlan, berkata, pihaknya prihatin dengan dugaan yang dihadapi mangsa banjir di Terengganu, baru-baru ini dan kolaborasi bersama pihak berkenaan adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat pihaknya yang prihatin dengan kebajikan masyarakat setempat.

"Kami sedaya upaya memberi bantuan semampu yang boleh untuk. membantu mereka yang terkesan banjir. Diharapkan dengan kerjasama ketiga bersama Kave dapat meringankan mangsa dan meneruskan kehidupan seperti biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 12:49 AM