NUR Fariza (kiri) antara 30 sukarelawan BATAS Perak yang membawa makanan keperluan asas untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. FOTO Razif Rosli
NUR Fariza (kiri) antara 30 sukarelawan BATAS Perak yang membawa makanan keperluan asas untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. FOTO Razif Rosli
Razif Rosli


MENGANDUNG lapan bulan bukan halangan bagi seorang peserta Konvoi Bantuan Kemanusiaan Badan Amal Tarbiah Sejagat Batas Malaysia (BATAS) Perak menyertai misi bantuan mangsa banjir di Bukit Mertajam.

Nur Fariza Emylin Shahrul Ridzuan, 20, berkata, dia bersemangat untuk menyertai konvoi itu walaupun mengandung lapan bulan.

"Misi ini mempunyai objektif untuk membantu mangsa banjir berlokasi luar dari kawasan tumpuan iaitu di pulau selain meringankan beban warga miskin yang hilang mata pencarian kerana tidak dapat bekerja ketika bencana itu.

"Walaupun mengandung, saya tetap gagahkan diri untuk turut serta memandangkan sebelum ini ketika banjir di Kelantan, Perak Tengah dan Kedah saya turut serta," katanya.

SUKARELAWAN BATAS Perak membawa dua tan makanan keperluan asas untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Bukit Mertajam.  FOTO Razif Rosli
SUKARELAWAN BATAS Perak membawa dua tan makanan keperluan asas untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Bukit Mertajam. FOTO Razif Rosli

Dalam misi bantuan itu, 30 sukarelawan BATAS Perak bersama dua tan makanan keperluan asas bergerak ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini.

BATAS Perak menyalurkan bantuan segera seperti makanan dan keperluan asas kepada 250 keluarga yang terjejas banjir di Pulau Pinang.

Pengerusinya, Shahrul Ridzuan Gurmukh Abdullah berkata, bantuan berupa beras, gula, biskut dan air mineral itu disumbangkan kepada semua mangsa banjir terbabit tanpa mengira latar belakang atau kaum di Bukit Mertajam.

"Kita dapat makumat melalui tinjauan dan rakan-rakan yang berada di sana. Kita dapati ada keperluan segera untuk kurangkan bebanan mangsa banjir berkenaan.

"Kami menyerahkan bantuan ini kepada masjid jamek di sana untuk diselaraskan agar dapat disampaikan segera kepada golongan sasar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Bantuan Kemanusiaan BATAS Perak ke Bukit Mertajam di Ipoh, hari ini.

"Saya mengharapkan semoga usaha dan kerjasama kemanusiaan ini dapat diteruskan lagi untuk masa-masa akan datang seperti yang kita lakukan sebelum ini.

"Malah kita juga akan datang semula ke Pulau Pinang sekali lagi untuk menyalurkan bantuan pasca banjir, kita tengok apa yang mereka perlukan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2017 @ 5:58 PM