BERCUTI bersama keluarga. FOTO Ihsan Dr Azuraida Shahadan
BERCUTI bersama keluarga. FOTO Ihsan Dr Azuraida Shahadan
Muhamaad Razis Ismail

TUBUH kecil namun berjiwa besar. Demikian karakter yang sesuai untuk menggambarkan wanita bernama Dr Azuraida Shahadan yang sangat aktif dengan aktiviti kesukarelawan.

Malah, mengenali dengan rapat membuatkan penulis teruja dengan kebolehan wanita ini yang seolah-olah tidak kenal erti penat melakukan pelbagai perkara dalam satu-satu masa.

Jangan disangka, biarpun bertubuh kecil, beliau juga sangat sukakan aktiviti lasak seperti terjun lelabah, terjun udara dan mendaki.

Sebelum ini, beliau memiliki gaji cukup lumayan, namun mengorbankan kerjayanya sebagai pensyarah untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap aktiviti kesukarelawan.

Dr Azuraida tidak pernah menyesal dengan keputusan yang diambil itu, malah berbangga dapat meneruskan minatnya sejak sekian lama.

Katanya, bertugas sebagai ahli akademik, beliau ‘terikat’ dengan tanggungjawab sebagai pensyarah di universiti.

“Pernah satu ketika saya sudah merancang program di sebuah perkampungan Orang Asli namun terpaksa dibatalkan pada saat akhir kerana ada tugas di universiti yang tidak dapat dielakkan.

“Melihat keadaan itu, saya fikir semasak-masaknya dan buat keputusan meletak jawatan untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap aktiviti kesukarelawanan.

SERTAI Program Pengagihan Muqadam di Perkampungan Islam Du Phoc, Vietnam. FOTO Ihsan Dr Azuraida Shahadan
SERTAI Program Pengagihan Muqadam di Perkampungan Islam Du Phoc, Vietnam. FOTO Ihsan Dr Azuraida Shahadan

“Alhamdulillah, saya tidak keseorangan kerana keluarga memberi sokongan sepenuhnya dengan keputusan yang dibuat ini kerana yakin dengan kemampuan untuk berdikari di luar sana,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau mula terbabit dengan aktiviti kesukarelawan selepas terpilih menjadi sukarelawan Islamic Relief Malaysia membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Jogjakarta, Indonesia pada 2006.

“Saya antara lima yang terpilih untuk sertai misi kemanusian membantu mangsa yang terjejas di sana.

“Selain itu, saya turut mengajar secara percuma di Rumah Anak Yatim Teratak Che Dah milik keluarga dan membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

“Ketika belajar di Amerika Syarikat juga saya aktif dengan membantu gelandangan, mengajar anak imigran Mexico secara percuma dan berdaftar di bawah Disaster Asistance Relief Team (DART),” katanya.

Menurutnya, pada 2018 dia bersama penyanyi, Deja Moss bekerjasama menubuhkan NGO Kembara Amal Venture atau lebih dikenali sebagai Kave.

“Sebenarnya saya sudah bertemu Deja Moss ketika dia ke California bersama pasukan Malaysia untuk program Road To Hollywood pada 2011 dan sejak itu kami mula rapat kerana banyak persamaan.

SUAMI yang banyak memberi sokongan. FOTO Ihsan Dr Azuraida Shahadan
SUAMI yang banyak memberi sokongan. FOTO Ihsan Dr Azuraida Shahadan

“Apabila pulang ke Malaysia, kami bincang bagaimana dapat bantu orang kerana sering bersama-sama terbabit membantu sebuah NGO di Sungai Penchala.

“Kemudian selepas itu timbul idea tubuhkan NGO sendiri yang dinamakan sebagai Kave yang memberi fokus membantu anak yatim, gelandangan, ibu tunggal, fakir dan Orang Asli,” katanya.

Mengulas lanjut, Kave ditubuhkan untuk memberi impak sosial kepada masyarakat sekeliling di dalam dan luar negara.

“Kami mahu berusaha membantu meningkat kesejahteraan hidup masryarakat dan kami mempunyai motto satu kembara sebuah amal segunung harapan.

“Sejak 2018, pelbagai program sudah dijalankan bukan sahaja di negara ini, malah kami pernah ke Filipina, Vietnam, Indonesia dan Thailand,” katanya.

Ditanya cabaran yang dihadapi, Dr Azuraida berkata, sebagai wanita dia perlu bijak membahagikan masa sebagai ibu, isteri dan tugasnya sebagai sukarelawan.

“Saya bersyukur kerana suami, Nazrin Ridhwan dan anak sangat memahami. Mereka sering mengikut saya masuk ke perkampungan Orang Asli untuk bersama-sama lakukan aktiviti di sana.

“Selain itu, sudah pasti sebagai NGO selalunya berdepan masalah kewangan yang kadangkala perlu berkorban keluarkan duit poket sendiri untuk membantu.

“Dalam hal ini saya bersyukur kerana banyak syarikat besar membantu termasuk GAS Malaysia Berhad,” katanya.

Menurutnya, banyak perubahan yang dialami sepanjang terbabit dengan aktiviti kebajikan ini, antaranya kehidupannya menjadi semakin bahagia dan baik.

“Aktiviti kesukarelawanan ini membuka minda untuk mensyukuri nikmat Tuhan dan sama-sama rasa nikmati hidup sebenar. Semakin ramai kita tolong orang, kita akan rasa gembira dan bahagia,” katanya.

Dr Azuraida bukan individu yang boleh ‘duduk diam’ kerana banyak perkara yang dilakukan tanpa kenal erti penat.

Bukan hanya aktif dengan NGO, dia yang juga pakar motivasi, penulis buku dan pengamal keibubapaan yang memiliki sarjana dalam bidang pendidikan dan pengurusan serta ijazah kedoktoran.

“Saya ni semua benda nak buat sebab berpegang kepada prinsip hidup hanya sekali dan kalau Allah bagi keupayaan kita perlu cuba semua benda.

“Apa pun saya bersyukur kerana semua segala urusan sentiasa dipermudahkan dan diberi ruang masa yang cukup untuk lakukan pelbagai perkara yang dapat beri manfaat kepada orang lain,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Dr Azuraida mengimpikan untuk membina sebuah muzium kanak-kanak atau buku yang menjadi institusi pengaliran ilmu.

“Saya juga mahu sediakan biasiswa kepada penuntut dan ibu tunggal yang tidak berkemampuan untuk lanjutkan pengajian di universiti.

“Impian peribadi saya adalah melanjutkan pengajian dalam sarjana perniagaan di Univesiti Harvard,” katanya.

PROGRAM Amal Ihya Ramadhan bersama pelajar tahfiz perempuan di G2G Animal Garden. FOTO Ihsan Dr Azuraida Shahadan
PROGRAM Amal Ihya Ramadhan bersama pelajar tahfiz perempuan di G2G Animal Garden. FOTO Ihsan Dr Azuraida Shahadan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 7:00 AM