Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)  negeri Kelantan, Azman Ismail (kiri) bersama anggotanya melihat rampasan minyak petrol serta kenderaan tangki ubahsuai yang dirampas untuk diseludup ke negara jiran dalam Ops Bersepadu pada sidang media di Balai  Polis Daerah Pengkalan Kubor di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Kelantan, Azman Ismail (kiri) bersama anggotanya melihat rampasan minyak petrol serta kenderaan tangki ubahsuai yang dirampas untuk diseludup ke negara jiran dalam Ops Bersepadu pada sidang media di Balai Polis Daerah Pengkalan Kubor di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Tumpat: Sebanyak 96 stor haram dikesan di tebing Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor hingga Jeli bertujuan menjalankan aktiviti penyelewengan barangan kawalan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, semua stor haram itu dibina di tanah persendirian dan menjadi transit penyimpanan barang kawalan yang ingin diseludup ke negara jiran.

"Jika dilihat sekali imbas, sukar dikesan berlaku kegiatan penyelewengan di kawasan itu memandangkan keadaannya yang bertutup dan ada berpagar.

"Bagaimanapun stor haram itu tidaklah beroperasi sepenuh masa dan ada yang 'on off' bergantung kepada bekalan barangan yang diperoleh untuk diseludup," katanya ketika sidang media, hari ini.

Azman berkata, hasil Ops Bersepadu bersama 14 agensi berkaitan pada 12 Disember hingga semalam, sebanyak 84 kes dihasilkan membabitkan nilai RM48,854.05 serta sembilan tangkapan.

Menurutnya, operasi dibuat di empat daerah iaitu Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli membabitkan 278 anggota termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Pelaksanaan operasi ini adalah bagi mencegah, mengekang dan menumpaskan kegiatan penyeludupan sempadan negara yang semakin berleluasa.

"Sebanyak lapan tindakan kes dihasilkan membabitkan perundangan KPDN di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 berkaitan penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan petrol, diesel, minyak masak bersubsidi, kenderaan tangki ubahsuai dan gagal menyelenggara buku stok barang kawalan," katanya.

Azman berkata, dalam operasi itu juga, sebanyak lima stor haram di Pengkalan Kubor yang dijadikan transit petrol serta diesel digeledah seterusnya menjumpai sejumlah barang kawalan yang belum sempat diseludup ke Thailand.

Beliau berkata, petrol dan diesel diisi di beberapa stesen minyak oleh kenderaan sebelum dibawa ke stor di pangkalan haram dan penyeludup hanya mengambil masa lima minit saja untuk mengosongkan tangki kenderaan yang diubahsuai.

"Setiap pemilik stor haram akan didatangi penyeludup bersama kenderaan masing-masing yang membawa petrol atau diesel sebelum berlaku aktiviti pemindahan bahan bakar terbabit.

"Secara purata, untuk 90 liter petrol, penyeludup mampu memperoleh sekitar RM236 keuntungan kasar untuk sekali penghantaran dan tidak hairanlah jika mereka sanggup mengambil risiko berdepan tindakan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 2:45 PM