Sejumlah tong plastik yang mengandungi 345 liter diesel yang diletakkan di hadapan sebuah rumah di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor yang dijadikan lokasi transit sebelum diseludup. FOTO IHSAN KPDN
Sejumlah tong plastik yang mengandungi 345 liter diesel yang diletakkan di hadapan sebuah rumah di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor yang dijadikan lokasi transit sebelum diseludup. FOTO IHSAN KPDN
Siti Rohana Idris

Tumpat: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 570 liter diesel dan 150 liter petrol dalam tiga serbuan berasingan di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor di sini, semalam.

Serbuan itu dibuat terhadap tiga rumah yang dijadikan lokasi transit sebelum bahan bakar itu diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram di Pengkalan Kubor.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, serbuan pertama dibuat bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Timur Pengkalan Kubor pada 12 tengah hari semalam di sebuah rumah di kampung itu sebelum menemui 150 liter petrol.

"Barang kawalan itu dijumpai dalam sebuah kenderaan tempatan yang sudah diubah suai tangkinya.

"Bagaimanapun, pemandunya tiada di lokasi dipercayai sudah melarikan diri sebaik mengetahui kehadiran pasukan operasi," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azman berkata, serbuan kedua dibuat pada 12.15 tengah hari dan pasukannya berjaya menyita sejumlah tong plastik yang mengandungi 345 liter diesel yang diletakkan di hadapan sebuah rumah.

Seterusnya pada 4.30 petang semalam, seorang lelaki berusia 20-an yang juga pemandu lori ditahan selepas 225 liter diesel ditemukan dalam lori dipandunya.

Menurut Azman, barang kawalan itu diisi dalam tong plastik sebelum ditutup dengan kain bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Ketiga-tiga kes itu melakukan modus operandi yang sama iaitu dengan membuat pengisian berulang di stesen minyak di sekitar Kota Bharu sebelum membawa barang kawalan itu ke lokasi transit di Pengkalan Kubor.

"Diesel dan petrol itu kemudiannya akan dibawa ke mana-mana pangkalan haram untuk diseludup ke Thailand menerusi Sungai Golok.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 2:36 PM