Lelaki yang ditemukan maut  dipercayai terkena mesin pemotong besi pada leher di stor rumahnya di Kampung Pida 4, semalam. FOTO IHSAN Pembaca
Lelaki yang ditemukan maut  dipercayai terkena mesin pemotong besi pada leher di stor rumahnya di Kampung Pida 4, semalam. FOTO IHSAN Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


Kodiang: Lelaki ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada leher dipercayai akibat terkena mesin pemotong besi di stor rumahnya di Kampung Pida Lama di sini, semalam.

Muhammad Hafizad Ibrahim, 25, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, akibat parah.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kaunter Balai Polis Kodiang menerima panggilan daripada seorang pengadu pada 5.30 petang berhubung kematian lelaki berkenaan.

Beliau berkata, berikutan itu, pada 5.55 petang, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu bersama anggota Balai Polis Kodiang tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Hasil siasatan mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan berlunjur di atas lantai berdekatan dengan mata pemotong mesin elektrik.

"Mangsa yang masih bujang adalah anak keempat daripada enam beradik, dan mempunyai kelulusan daripada Kolej Matrikulasi Tambun Tulang di Perlis.

"Ketika kejadian, mangsa berada di rumah bersama dua orang adiknya dan salah seorang adiknya yang berusia 14 tahun ternampak abangnya terbaring dengan luka di leher berdekatan dengan mesin pemotong besi dalam keadaan tidak sedarkan diri sewaktu hendak pergi ke stor untuk mengambil barang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rodzi berkata, adik bongsu mangsa kemudian terus memaklumkan kepada kakaknya berhubung kejadian itu dan mendakwa sebelum kejadian, dia tidak nampak orang luar datang ke rumah.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan bapa mangsa, anaknya dipercayai mengalami demam sejak empat hari lalu dan belum pulih sepenuhnya.

"Pegawai dan anggota Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hadir ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan hanya terdapat kecederaan di bahagian leher dipercayai akibat terkena bilah pemotong besi mesin elektrik.

⁠"Pemeriksaan lanjut pada mayat juga mendapati tiada tanda-tanda pergelutan, tiada tanda kemalangan atau mangsa cuba membunuh diri," katanya.

Rodzi berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 10:07 AM