KEADAAN kereta yang dinaiki mangsa sekeluarga. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN kereta yang dinaiki mangsa sekeluarga. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia di Hospital Jitra (HJ) selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki bersama keluarganya terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jalan Sungai Korok, di sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 11.15 pagi itu, mangsa, Haraz Safiy Haniz, 4, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di HJ manakala adiknya, Syafin Haadif, 2, menerima rawatan zon merah hospital berkenaan.

Bapa mangsa, Haniz Mohamad, 35, yang beralamat di Kampung Sungai Kechik, Kuala Nerang hanya mengalami luka ringan manakala isterinya, Nurul Syahira Zamri, 34, luka di dahi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 11.29 pagi yang memaklumkan kemalangan membabitkan sebuah kereta yang disyaki terbabas sendiri dan jatuh ke dalam sungai berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kenderaan yang terbabit masih berada situ manakala semua mangsa sudah dikeluarkan dari Perodua Myvi itu.

"Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku sewaktu kereta yang dinaiki kesemua mangsa dari arah pekan Jitra menghala ke Air Hitam.

"Namun sebaik tiba di Jalan Sungai Korok, kereta terbabit disyaki hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan terlanggar pada papan tanda di bahu kanan jalan kemudian terjatuh ke dalam sungai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, semua mangsa yang berada di dalam kenderaan dikeluarkan oleh pemandu kereta itu.

Beliau berkata, semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan.

"Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 12.20 tengah hari ketika menerima rawatan di hospital.

"Jasad mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat," katanya.

Rodzi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 5:26 PM