GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suhanna Iskandar


Kuala Lumpur: Sebanyak RM4.7 juta nilai kerugian dicatatkan membabitkan penipuan pelaburan forex yang didalangi satu sindiket beroperasi di luar negara sejak 1 November lalu hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 10 laporan diterima pihak polis berkaitan penipuan pelaburan forex oleh sindiket itu.

"Laman sesawang bagi mengendalikan pelaburan ini dipercayai beroperasi di luar negara.

"Kami mengesan satu sindiket antarabangsa yang melakukan transaksi mencurigakan dengan nilai lebih RM1 bilion.

"Nilai ini diperoleh melalui analisis menerusi aplikasi 'Huobi' (cryptocurrency)," katanya ketika sidang media di pejabat JSJK di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal mangsa dijanjikan dengan pulangan modal dan keuntungan bulanan sebanyak lima peratus dari nilai duit yang dilabur.

Katanya, sindiket itu menggunakan aplikasi Zoom untuk berkomunikasi dengan mangsa mengenai pelan pelaburan.

"Selepas diyakinkan oleh sindiket itu, mangsa-mangsanya membuat pembayaran wang pelaburan antara RM437,253 hingga RM864,303 seorang melalui Huobi.

"Maklumat suspek sudah diperoleh pihak polis dan tindakan lanjut sedang dilaksanakan untuk mengesan sindiket terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 5:32 PM