Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket pelaburan haram membabitkan kerugian RM21 juta dengan penahanan 10 individu termasuk dalang utama dikenali sebagai Joe Kedah, Khamis lalu.

Dalam serbuan bermula 12.30 tengah malam, suspek berusia antara 24 hingga 42 tahun itu ditangkap di empat lokasi berasingan di ibu negara, Shah Alam, Cyberjaya dan Kajang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, serbuan itu dijalankan selepas pihak polis menerima 72 laporan polis dibuat oleh mangsa sejak tahun lalu.

Menurutnya, sebanyak 28 kertas siasatan dibuka sebelum menahan lapan lelaki dan dua wanita termasuk seorang warga Indonesia.

"Dalang sindiket dikenali sebagai Joe Kedah berusia 42 tahun ditahan bersama kekasihnya yang juga warga asing di sebuah rumah di Shah Alam selepas siasatan mendapati lelaki berkenaan hidup mewah.

ZAINUDDIN (tengah) ketika sidang media kejayaan menumpaskan dua kes jenayah penipuan pelaburan di Pejabat JSJK Bukit Aman. FOTO Eizairi Shamsudin
ZAINUDDIN (tengah) ketika sidang media kejayaan menumpaskan dua kes jenayah penipuan pelaburan di Pejabat JSJK Bukit Aman. FOTO Eizairi Shamsudin

"Turut dirampas dalam serbuan itu adalah 10 kereta mewah seperti Porsche Macan, Ford Mustang dan Audi dengan nilai keseluruhan RM1.2 juta selain 17 telefon bimbit, tujuh komputer riba, 14 kad mesin juruwang automatik (ATM) dan wang tunai berjumlah RM10,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK, di sini, hari ini.

Mengenai modus operandi sindiket itu, Zainuddin berkata, mangsa didorong melabur dalam Forex menerusi platform EssenceFX menggunakan aplikasi Metatrade 4, dengan dijanjikan keuntungan antara lima hingga lapan peratus.

"Mangsa mula menyedari ditipu apabila laman web berkenaan tidak boleh diakses lagi.

"Suspek masih dalam tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 5:09 PM